SELAMAT DATANG KE AL-BILALI BLOGSPOT

MOGA IANYA BERMANAFAAT UNTUK DUNIA DAN AKHIRAT

Pages

RSS

Friday, January 8, 2010

Nama Allah , dimana kita?

Berbagai bentuk bantahan dan demo yang dilakukan oleh umat Islam yang tidak senang dengan keputusan mahkamah membenarkan pihak Kristian Katholik menggunakan nama Allah. Mereka ini sejak dulunya tidak sensitif dengan isu Islam ,tiba-tiba menjadi pejuang untuk mempertahankan kesuciaan nama Allah.Peliknya juga mereka dari golongan ini jugalah yang pernah mencadangkan agar nama Islam diharamkan penggunaannya oleh mana-mana badan pertubuhan, yang menyekat bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat,yang menganjurkan program-program yang menjauhkan Allah dalam kehidupan bahkan turut menyekat program kuliah-kuliah agama dimasjid dan surau semata-mata kepentingan politik sempit mereka.

Kini mereka pula, pada zahirnya penuh bersemangat membantah kalimah Allah digunakan oleh Kristian Katholik.Memang benar kalimah Allah itu tidak layak digunakan oleh sesiapun sekiranya dinisbahkan kepada konsep ketuhanan yang bercanggah dengan sifat ke-esa-an Allah itu apatah lagi dengan apa-apa konsep ketuhanan yang sesat lagi menyesatkan.

Justeru, apakah mereka-mereka yang membantah ini benar-benar marah kerana mempertahankan ke-Esa-an Allah atau buat-buat marah supaya mereka digelar orang sebagai pembela agama?

Sikap seorang muslim apabila disebutkan kalimah Allah, akan menjadi takut dia kepada Allah.Hanya manusia yang takut saja akan ta’at perintah tuhannya. Sebab itulah apabila mereka ini diserukan nama Allah kepada mereka, mereka menjadi gentar dan takut, kerana merasa dirinya seperti ada arahan Allah yang dia tidak laksana dan larangan Allah yang dia kerjakan. Seperti mana firman Allah Ta’ala :

“Sesungguhnya orang-orang beriman yang bila disebut Allah gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepadanya maka bertambahlah imannya, sedang mereka itu bertawakkal kepada tuhannya.”(Surah Al-Anfaal : ayat 2)

Golongan yang takutkan Allah , apabila diberi kuasa oleh Allah akan sedaya mungkin kan mencari ruang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah , bukannya menjadi penghalang kepada pelaksanaan syariat Allah di muka bumi ini.

Mereka hanya menyatakan bahawa mereka juga adalah pejuang agama, pejuang Islam, berjuang mempertahankan Kalimah Allah, namun malangnya, mereka hanya mempertahankan lafaz bukan makna. Mereka hanya menyatakan keIslaman dan keimanan di lidah namun ingkar dihatinya. Inilah dikatakan munafik sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud :
“Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian”, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman” .( Surah Al-Baqarah : ayat 8)

Orang yang takut kepada sesuatu adalah orang yang kenal kepada benda yang dia takuti. Seorang kanak-kanak kecil berani memegang api bahkan ular sekalipun kerana dia tidak tahu dan kenal apa itu api dan apa itu ular. Apabila kanak-kanak itu dah kenal sifat-sifat api dan ular nescaya mereka tak akan perbuat perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepada mereka.

Orang yang takutkan Allah, maka dia mestilah kenal sifat-sifat Allah yang maha sempurna. Dia amat tahu betapa Allah akan memberi azab sebagai balasan ke atas perbuatan ingkar kepada Allah. Dan dia tahu betapa Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.

Kita ingin lihat apakah mereka yang sokong dan bantah ini, apakah benar-benar kerana mereka kenal akan Allah…? Atau bantah kerana semata-mata mahu mencipta sentimen yang boleh menjadi keuntungan politik perkauman mereka, atau menyokong sepenuhnya semata-mata mahu menjaga hati pengundi?

Persoalannya ialah, apakah mereka yang membantah ini kerana mereka kenal akan segala sifat kesempurnaan bagi Allah yang wajib, mustahil dan harus bagi aqal kita sepertimana yang termaktub di dalam perbahasan-perbahasan ilmu tauhid..? Apakah mereka membantah ini atas kesedaran yang lahir dari aqidah tauhid mereka..?

Sekiranya mereka benar-benar membantah atas kesedaran tauhid, maka kehidupan mereka mestilah tunduk dibawah arahan Allah dan Rasul-Nya. Iman dan taqwa memberi kesan dalam corak perjalanan hidupnya. Iman dan taqwa bukan sekadar di mulut yang melaungkan slogan dan bantahan sahaja. Iman dan taqwa itu mesti memberi kesan terhadap setiap tindak-tanduk, gerak-geri, sikap dan pemikiran seseorang itu, berdasarkan apa yang Allah gariskan di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya.

Adalah pelik apabila, seseorang itu, yang mana hidupnya dicorakkan dengan unsur penolakan arahan dan suruhan Allah, sedangkan Allah mengarahkan setiap yang beriman kepadanya untuk mempertahankan apa yang telah diwahyukan-Nya, dan dia selama ini tidak pernah patuh pun kepada-Nya, bukankah di sana ada percanggahan mempertahankan nama Allah dalam masa yang sama menolak suruhan Allah yang dipertahankan namanya.

Demikianlah sikap dan pendirian sebenar golongan ini apabila tiba-tiba bangun mempertahankan Islam dan Kalimah Allah. Kerana ramai dikalangan mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan golongan mereka sahaja.

Adapun bagi orang-orang yang beriman serta takut dan ta’at kepada perintahnya, mereka akan berpendirian betapa Kalimah Allah itu hanya layak dinisbahkan kepada segala sifat ke-Esa-an-Nya. Tidak tidak sama sekali boleh dinisbahkan kepada konsep-konsep ketuhanan yang sesat lagi bathil.

Friday, January 1, 2010

Gerhana Bulan di Malam Tahun Baru



Pada tahun ini kita amat bertuah kerana sambutan tahun baru kita disertai dengan satu fenomena Gerhana Bulan Separa.Gerhana mula dilihat pada jam 01.17 minit pagi 1 Januari 2010. Kemuncak gerhana adalah pada jam 03.23 minit pagi. Peristiwa gerhana bulan separa ini berakhir pada 05.28 minit pagi.

Bagi membolehkan orang ramai menghayati fenomena ini, Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Falak Syarie Malaysia dan Majlis Mufti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyediakan sebanyak 10 teleskop untuk mereka melihat fenomena itu secara lebih jelas dipekarangan Masjid Negara dan kemudian dilaksanakan solat sunat gerhana . Kehadiran lebih kurang 1500 orang. Alhamdulillah.

Disisi yang lain Sambutan Tahun Baru 2010 disambut meriah dengan kehadiran lebih kurang 20000 orang di dataran merdeka dan 15000 orang di Jalan bukit bintang. Sambutan dipenuhi dengan persembahan konsert dan hiburan semata-mata. Dimalam tahun baru Allah menunjukkan peringatan dan kekuasaaNya , kita masih leka dan tak nak berfikir. Apakah peringatan seperti Tsunami , gempa bumi baru kita faham bahawa Allah Maha Berkuasa?

Dewasa ini ramai antara kita memandang mudah fenomena gerhana ini dan mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta. Mereka tidak terfikir bahawa apa yang mereka kira dan jangka itu adalah tanda kebesaran Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya akan kehebatan Allah menyusun atur perjalanan alam ini.

Firman Allah SWT surah Al-Ana’am ayat 12:
Maksudnya: Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: semuanya adalah milik Allah. Ia telah menetapkan atas diriNya Rahmat. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

Maka bersegeralah kita mengambil iktibar dari fenomena gerhana ini. Tingkatkanlah iman kita dengan mengakaji kebesaran Allah melalui ciptaanNya. Dan segeralah kita
melakukan amal soleh dan bertaubat atas dosa-dosa kita.

Lihatlah kejadian gerhana ini. Lihatlah kehalusan pentadbiran Allah di alam semesta ini. Bulan yang bergerak mengelilingi Bumi, tidak berlanggar sedikit pun dengan Bumi. Lihatlah bintang-bintang yang bertaburan di langit. Siapakah yang mencipta mereka? Siapakah yang mengatur perjalanan mereka sehingga tidak berlanggar di antara satu sama lain? Siapakah yang menjadikan angkasa lepas begitu luas sekali sehingga
dapat memuatkan berjuta-juta bintang? Allah s.w.t! Allah sahajalah yang mencipta segala-galanya. Tuhan yang tiada sekutu bagiNya.
Sesungguhnnya kejadian-kejadian yang berlaku di angkasa lepas ini adalah tanda kebesaran Allah bagi mereka yang berfikir, untuk mereka mengambil iktibar.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali Imran, ayat 190 dan 191 :
Ertinya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang adalah sebagai bukti dan tanda kekuasaan Allah, bagi orang-orang yang berfikir. (Iaitu)orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini. Namun, cukuplah sabda Rasulullah SAW dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini:

"Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis."

Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekalian manusia, Nabi Muhammad SAW. Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir. Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli 'Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata:

"Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita."

Ikutan kita yang agung, Rasulullah SAW gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan. Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku. Baginda SAW menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut. Kebimbangan Nabi SAW ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya. Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn 'Amru r.a berkata:

"Pada masa Rasulullah SAW (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda SAW rukuk, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya.

"Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda SAW tidak akan sujud. Kemudian Baginda SAW sujud, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda SAW menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

Sesungguhnya Baginda SAW tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda SAW tidak pernah melupakan kita.

Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda SAW? Apa yang kita lakukan untuk agama Allah ini?