SELAMAT DATANG KE AL-BILALI BLOGSPOT

MOGA IANYA BERMANAFAAT UNTUK DUNIA DAN AKHIRAT

Pages

RSS

Saturday, April 18, 2009

Iktibar dari Pengalaman

Minggu lepas , saya dan rakan-rakan surau Fatimah Az-Zahra' Taman Inderasempurna (Hj Nordin, Riduan dan Ust Zuridan) telah menikmati makan malam di sebuah Restoran yang agak esklusif dari segi hiasan dalaman dan jenis makanan barat yang disediakan serta ada ruangan untuk persembahan nyayian. Tapi kami makan mee bandung muar je. Mungkin jiwa melayu masih tebal so tak boleh makan jenis chp stik , beef stik dsb.

Cuma saya nak kongsi, sedang kami enak menikmati makanan , seorang pemuda dengan gitarnya masuk dan terus kebahagian hadapan untuk persembahan nyanyian. Mengejutkan pemuda tadi mendendangkan lagu Hijjaz dan lagu-lagu ketuhanan. Kami semuanya berkopiah hatta ada yang berjubah tersenyum-senyum mendengar lagu-lagu itu dialunkan dan kami rasa lagu itu ditujukan untuk kami. Terbukti ianya untuk kami.Apabila kami nak balik pemuda itu mengucapkan terimakasih kepada Pakcik-pakcik(kamilah tu... yang ni saya kurang setuju.... saya muda lagi... he...he). Sebagai tanda terima kasih , kami mengangkat tanda tanda bagus.

Iktibarnya , jangan malu apabila kita memakai pakaian yang beridentitikan agama , kita kan lebih dihormati kerana pakaian itu.

Sunday, April 12, 2009

Peliharalah Agama , Nescaya Kita dihormati



















Melihat dua gambar di atas , rasa terharu diatas penghormatan dua penyanyi terkenal Malaysia terhadap ulama yang saya segani. Hebatnya Tuan Guru Nik Aziz, sehinggakan kedua-dua penyanyi ini menyatakan rasa gembira kerana dapat berjumpa Tuan Guru yang sebenarnya amat mereka hormati.

Saya melihat dalam perspektif yang berbeza . Penghormatan yang diterima oleh Tuan Guru bukan atas dasar beliau adalah Menteri Besar Kelantan semata-mata , bahkan kerana keteguhan prinsip yang dipegang dalam mengutamakan syariat dalam segala tindakan.

Penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza Taruddin menyatakan kunjungan hormat terhadap Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas sekian lama menyimpan hasrat bertemu tokoh ulama tersebut. Beliau melahirkan rasa syukur kerana hasrat yang telah lama diidamkan akhirnya menjadi kenyataan.

"Orang kata sepanjang hidup ni nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadi," ujarnya. Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan seorang yang berpegang pada prinsip serta ajaran agama.

Berdepan dengan insan yang amat dihormatinya , Datuk Siti mengenakan pakaian yang sepatutnya sebagai Muslimah dan saya amat berharap ianya berkekalan. Datuk Siti memakai pakaian muslimah kerana dia menghormati prinsip agama yang dipegang oleh Tuan Guru.

Kalaulah semua kepimpinan negara dan isteri-isteri mereka mempunyai prinsip agama yang tegas dan jelas seperti ini , tidak mustahil untuk kita melihat suasana Islam dapat diwujudkan dalam negara . Sesungguhnya pemimpin adalah model untuk rakyatnya.

Amy pula menyatakan bahawa beliau meminati personaliti Tuan Guru yang sangat karismatik dan low-profile. Apabila ditanya mengenai label yang akan diberi oleh masyarakat terhadapnya, beliau menyatakan "Saya meminati tok guru dengan imej dan personaliti beliau sebagai seorang tokoh agama serta pemimpin yang hebat, kenapa harus takut dengan label-label yang berbau politik.

Ya Allah Engkau lahirkanlah ramai lagi pemimpin yang mempunyai prinsip agama yang tegas seperti ini , agar masyarakat kami lebih terdidik dengan agama. Jauhkanlah kami dari pemimpin yang rosak agamanya serta akhlaknya kerana ianya menyebabkan masyarakat kami akan hancur.

Friday, April 10, 2009

Perluaskan Konsep Dakwah

Bassan al-Muslimani merupakan satu nama yang asing bagi kita semua tetapi apabila disebut nama asalnya sebelum Islam Yvonne Ridley pasti tergambar dalam pemikiran kita Ketua pengarang " Sunday Express" yang ditahan oleh Taliban di Afghanistan dan akhirnya masuk Islam selepas dibebaskan.

Semasa dalam tahanan , beliau dilayan dengan penuh sopan oleh Taliban. Segala cerita-cerita negetif berkaitan Taliban rupanya hanyalah mainan media barat. Dibilik tahanannya tidak dibenarkan masuk melainkan pengawal wanita. Kebaikan inilah menyebabkan dia tertarik dengan Islam. Amat jauh bezanya layanan Islam terhadap tahanan dengan layanan tentera Amerika terhadap tahanan yang mana katanya sekiranya dia berada dalam tahanan Amerika sudah pasti dirinya diratah oleh tentera Amerika yang tidak berhati perut seperti apa yg berlaku di Guaotanamo bay. Layanan yang baik ini telah memberi kesan yang mendalam terhadap dirinya disamping didedahkan dengan sebuah buku karangan as-Syahid Syed Qutb " Petunjuk sepanjang Jalan".

Yang menariknya mengenai insan ini adalah beliau sering bercakap mengenai kewajipan wanita Islam untuk menutup kepala dengan hijab dan beliau pernah mengecam Menteri Kebudayaan Mesir , Farouq Hosni yang memperlekehkan Muslimat bertudung dengan gelaran yang tak sepatutnya . Di dalam Muktamar Jamiet-Islami Pakistan dia telah diberi kesempatan berucap dan menekankan bahawa Muslimat seluruh dunia jangan memandang kecil hukum memakai hijab.

Sebenarnya terlampau banyak kebaikan yang ada dalam Islam tetapi terlindung disebabkan oleh sikap umat Islam. Islam itu cantik, indah dan menarik tetapi banyak antara kita(Islam baka) yang menjadi penyebab kepada buruknya Islam pada pandangan masyarakat bukan Islam.

Sebagai contoh dalam satu pemilihan Parti yang majoriti ahlinya melayu Islam , calon yang bertanding untuk merebut jawatan tak sampai 300 calon tetapi laporan Rasuah yang disiasat oleh Jawatakuasa Disiplin mencapai 900 laporan. Amatlah malu kita umat melayu beragama Islam dengan keadaan ini. Macam mana orang bukan Islam nak tertarik dengan Islam.

Amat malang juga apabila ada orang bukan Islam memetik ayat al-Quran untuk memperkuatkan hujjahnya , adalah pula insan Islam berjiwa melayu membuat laporan polis keatas non muslim tadi atas dasar menghina agama. Dahlah kita tak mampu nak tunjukkan nilai Islam dalam diri kita , kita pula menutup ruang dakwah yang terbuka luas bagi kita menunjukkan keindahan Islam. Ruginya Islam.

Saturday, March 14, 2009

Pentingnya keberkatan dalam menuntut ilmu

Kejayaan Nik Nur Madihah memperolehi 20A baru-baru ini sepatutnya membuka mata para pelajar yang lain.

Adik Nik Nur Madihah tiada tips yang begitu istimewa untuk ditiru oleh para pelajar lain.

Hampir semua yang diperkatakan oleh Nik Nur Madihah ketika ditemuramah wartawan adalah perkara 'biasa'.

Dia tidak mengatakan pusat tiusyen mana yang bagus, teknik mana yang bagus, guna pensil apakah yang bagus.

Sesuatu yang Nik Nur Madihah pernah katakan ialah bahawa dia mencari keberkatan dalam menimba ilmu.
Ianya sememangnya perkara pokok, penting dan tidak boleh dipandang remeh oleh pelajar.

Guru harus dihormati.Guru tidak minta dipuji dan dipuja tetapi cukup sekadar dihormati sebagai seorang pemberi ilmu. Marah dan teguran guru bukannya hinaan tetapi merupakan satu proses untuk menjadikan pelajar sebagai insan yang sempurna minda dan sahsiah.

Ayat sebegitu sudah 1000 kali didengari, akan tetapi perkara yang ringkas sebegitu sudah hampir hilang.

Lihatlah banyaknya berlaku guru dipukul, di saman, dipancitkan tayar keretanya.

Perkara sebegitu seharusnya tidak berlaku sekiranya perkara asas yang ringkas "guru harus dihormati" tertanam pada setiap pelajar.

Ibubapa pun satu hal juga.
Apabila profesyen ibubapa lebih tinggi daripada guru, kemungkinan anak pula diajar supaya tidak begitu menghormati guru.Ingatlah wahai ibubapa , sebagai guru kami tak ingin anak didik kami hanyut , seperti mana anda(ibubapa) tak ingin anak anda hanyut tanpa arah . Oleh itu berganding bahulah kita , janganlah kita merendahkan martabat guru semata-mata kita mempunyai profesyen hebat sekarang. Dulu anda juga adalah pelajar yang belajar dengan guru dan disebabkan pelajaran yang diterima dari gurulah anda berada pada tempat sekarang.

Friday, March 13, 2009

SMSSI semakin cemerlang

Tahniah atas kejayaan SMSSI yang gemilang dalam SPM 2008. Satu peningkatan yang amat ketara dengan GPK 2.01, lima pelajar straight A1 dan 29 pelajar straight A. Ini merupakan rekod baru SMSSI mengalahkan batch terbaik 2005.

Walaupun tidak lagi menjadi keluarga SMSSI , tetapi segala yang melibatkan SMSSI masih dalam perhatian dan moga SMSSI terus cemerlang.

Dengarnya STF dapat dikalahkan dan ada pelajar sms ngan saya kedudukan peringkat kebangsaan pun amat baik (dgrnya top ten )...belum confirm.

Apapun tahniah kepada team SMSSI Tn Haji Idris yang cool tapi penuh hikmah, cg maon yang penuh dengan kesungguhan dan tak pernah penat , cg ahmadi yang penuh prihatin dalam senyum serta hajah yang tegas tapi caring . Walaupun dengan kekurangan tenaga pengajar , you all dah buktikan you are the best . Saya tabik dan moga terus mencipta kegemilangan di masa hadapan.

Monday, March 9, 2009

Moga kitalah yang dirindui oleh Rasulullah

Bersabda Rasulullah SAW 'Aku amat rindu kepada umatku' .... sahabat baginda bertanya ... kami kah yang kamu maksud ya Rasulullah? Baginda menjawab 'Tidak' lalu berkata 'aku rindukan umatku yang tidak pernah melihatku tetapi mereka tetap beramal dengan ajaran dan sunnah ku' ... mudah-mudahan kita lah yang menjadi umat yang di ridui oleh baginda.

Saban tahun kita menyambut maulid dan berbagai acara disediakan demi menunjukkan rasa cinta dan kasihnya kita kepada junjungan Rasulullah SAW yang telah membebaskan kita dari jiwa jahiliyyah kepada jiwa kebenaran yang bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah.Apakah cukup dengan sambutan maulid telah menjadi bukti kepada kebenaran cinta kasih sayang kita kepada Rasulullah?

Ingatlah, Abu Lahab juga turut menyambut dengan gembira akan kelahiran Nabi Muhammad SAW sehingga beliau melakukan tawaf sebanyak tujuh keliling kaabah. Tetapi apabila Nabi membentangkan kebenaran wahyu Allah , beliaulah orang pertama yang menentang Rasulullah SAW.

Ramai manusia tergolong dalam golongan Abu Lahab dewasa ini. Mereka hebat dalam menyambut Maulid tetapi merekalah golongan yang utama menentang ajaran Rasulullah SAW. Alangkah munafiknya mereka. Ya Allah ... hindarilah aku dari golongan itu.

Saturday, March 7, 2009

Kasih seorang Sahabat terhadap Rasulullah

Di dalam sirah Ibnu Hisham diceritakan satu kisah sahabat bernama Saad bin Rabe'yang terlalu kasihkan Rasulullah SAW dan Rasulullah pun kasih kepadanya. Kisah yang menarik ini dirakamkan selepas berlakunya perang Uhud yang tentera Islam tewas disebabkan tidak mentaati perintah Rasulullah.

Sebaik saja peperangan berakhir, ramai di kalangan sahabat yang gugur syahid. Tetapi Nabi SAW yang dahinya masih luka berdarah serta patah gigi, namun baginda tetap terkenangkan seorang sahabat yang baginda kasihi dan sayangi iaitu Saad bin Rabe'.

Di kalangan pasukan perang yang masih hidup itu, Nabi SAW tidak melihat kelibat Saad bin Rabe'. Tergerak di hati Nabi untuk mengetahui keadaan Saad bin Rabe', sama ada Saad masih hidup ataupun turut terkorban bersama syuhada yang lain.

Nabi SAW minta jika ada di kalangan sahabat sedia berkhidmat bagi pihak Rasulullah SAW, untuk berusaha mencari Saad bin Rabe' bagi mengesahkan kedudukannya yang sebenar, sama ada hidup atau gugur syahid.

Lalu bangun seorang sahabat dari kalangan Anshar menawarkan diri untuk melaksanakan kehendak Nabi SAW bagi mencari Saad.

Setelah mencari di segenap penjuru medan Uhud akhirnya Saad bin Rabe' ditemui dalam keadaan luka parah. Beliau dikekelilingi oleh jenazah para sahabat yang lain. Tetapi keadaan Saad di antara hidup dan mati, malah boleh dikatakan kematian sudah begitu hampir dengannya.

Sahabat Anshar bertanya kepada Saad: "Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan aku supaya mencari engkau, untuk mengetahui tentang dirimu. Bagaimana keadaan kamu wahai Saad?" Jawab Saad dalam nada lemah: "Sesungguhnya aku berada dalam kalangan orang yang mati. Oleh itu kembalilah engkau bertemu Nabi katakan kepada baginda bahawa aku berkirim salam."

Berkata Saad seterusnya dengan nada yang tersekat-sekat: "Bahawa aku berserah diri kepada Allah SWT untuk membalas jasa Nabi SAW, kerana aku tidak dapat membalas jasa baginda yang telah mempimpin dan mengasuhku, hingga aku menjadi seorang mukmin dan menjadi pengikut Nabi SAW yang setia."

Kata Saad lagi: "Jika engkau kembali ke Madinah, aku juga berkirim salam dengan sahabat-sahabat kita di Madinah. Katakan kepada mereka, bahawa Saad bin Rabe' menyampaikan pesanan kepada anda sekalian. Bahawa jika anda masih hidup sedangkan kamu tidak mempertahankan Nabi sehingga Rasulullah SAW dibunuh oleh musuh, maka kamu tidak akan ada alasan atau jawapan ketika ditanya oleh Allah Taala di akhirat kelak."

Saad berpesan kepada sahabat-sahabat yang masih hidup supaya menjaga keselamatan Nabi s.a.w., kerana dirinya sudah sangat hampir dengan ajal dan tidak berdaya untuk menjaga Nabi lagi. Amaran Saad kepada mereka jika nadi masih berdenyut, sedangkan mereka tidak melindungi Nabi dari bahaya sehingga terkorban di tangan musuh. Nescaya ia menjadi satu kesalahan besar, mereka tidak ada sebarang alasan atau jawapan apabila ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Sahabat Anshar terharu mendengar kata-kata terakhir Saad bin Rabe', dia terpaku seketika sehingga Saad menghembuskan nafasnya yang akhir. Setelah itu sahabat Anshar beredar dan kembali semula menemui Nabi SAW, beliau menyampaikan salam dan pesanan Saad bin Rabe' kepada Nabi sejurus sebelum ajalnya tiba.

Jika diperhalusi pesanan Saad bin Rabe' kepada sahabat-sahabatnya yang masih hidup di Madinah, ia akan menjadi kata-kata perangsang para pejuang Islam sepanjang zaman.

Saad membangkitkan isu menjaga keselamatan Nabi SAW Menurut Saad, sekiranya para sahabat gagal menjaga keselamatan Nabi, sehingga musuh berjaya membunuh baginda, maka mereka dianggap cuai dari kewajipan menjaga keselamatan Nabi. Nescaya mereka tidak ada helah untuk memberikan alasan kepada Allah SWT di akhirat kelak.

Cuai melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan Nabi, sebagaimana yang dibangkitkan oleh Saad bin Rabe' itu, boleh dijadikan iktibar kepada umat Islam sepanjang zaman.

Jika suatu umat mendakwa sayang kepada Nabi, tetapi perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan RasulNya seperti amalan riba, judi dan arak terus dizinkan pelaksanaannya, maka apakah alasan umat itu di hadapan Allah SWT? Sedangkan mereka tidak berusaha dan berjuang untuk menghalang maksiat besar itu.

Apakah alasan yang hendak diberikan di akhirat kelak jika peraturan dan hukum Allah diabaikan oleh umat Islam, sementara hukum ciptaan manusia diutamakan oleh para penguasa negara yang mendakwa sebagai pemimpin umat Islam?

Kalau mereka memberi alasan, dan Allah SWT pun tahu bahawa mereka sememangnya sudah berjuang dengan penuh kesungguhan tetapi tidak berjaya. Maka boleh jadi Allah SWT menerima alasan itu.

Sebaliknya jika mereka mempunyai keupayaan dan kuasa berada di tangan, tetapi mereka mengenepikan hukum Allah semata-mata kerana kepentingan peribadi atau kumpulan yang diutamakan. Apakah mereka boleh berdalih dihadapan Allah SWT, sedangkan Allah SWT memang mengetahui kedudukan mereka semasa mereka berkuasa di dunia dahulu?

Inilah yang diperingatkan oleh Saad bin Rabe' kepada para sahabat ahli Madinah, bahawa jika mereka gagal menjaga keselamatan Nabi sedangkan mereka dalam keadaan mampu berusaha melaksanakan tanggungjawab itu. Maka menurut Saad bin Rabe'; bahawa mereka tidak akan mempunyai hujah apabila disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Renunglah bagaimana para sahabat yang benar-benar sayangkan Nabi SAW, telah melaksanakan tanggungjawab mereka sepenuh upaya untuk mempertahankan keselamatan Nabi, hatta jiwa jasad mereka dicincang oleh musuh dan jiwanya terkorban.

Inilah bukti kasih sayang sejati yang telah ditunjukkan oleh para sahabat, menjadi contoh kepada umat tentang pengorbanan mereka terhadap Nabi yang disayangi dengan menggadaikan jiwa dan raga.

Dengan kasih sayang yang mendalam terhadap Rasulullah SAW, menjadikan para sahabat sebagai manusia yang mampu merampas kemenangan dari musuh, meskipun mereka terpaksa meredah lorong-kematian. Dan akhirnya mereka berdaya mengatasi musuh walau bagaimana besar halangan dan rintang yang mereka hadapi, dengan bebekalkan keimanan dan rasa kasih sayang terhadap Nabi SAW

Adakah cukup kasih sayang kita kepada Rasulullah dengan hanya kita mengingati Rasulullah pada hari Maulidur Rasul sahaja ..... selepas itu kita hidup tanpa panduan .... melakukan segala apa yang dilarang oleh Rasulullah. Alangkah munafik dan fasiknya kita.