Kenyataan Norhayati Hj Kaprawi, aktivis Sister In Islam
Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari, atau Islam ‘hududi’?
Apa pun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.
Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.
Bertambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam, bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap Kartika.
Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam. Namun, apabila timbul masalah sebenar di dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu. Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.
Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksima?
Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islam lah ia?
Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut beg yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian. Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.
Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal. Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara 7 hari di penjara Kajang?
Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan Agama Allah dan menegakkan Negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?
Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum pencuri yang mencuri akibat kemiskinan. Lupakah mereka tentang pesanan Allah s.w.t : “Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. Al Maaidah: 39)
Malah, banyak lagi ayat-ayat Al-Qur’an yang memberikan peringatan yang sama seperti di Surah An-Nahl: 119, dan Al An’aam: 54, An Nahl: 125
Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya? Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.
Apakah pantas Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?
Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperi kemanusiaan ini ke atas Kartika?
Satu Response.... fikirkan
Inilah yang berlaku apabila orang yang bergelar Islam berhujah dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran tanpa mengetahui apa yang telah dihujahkannya. Inikah wajah-wajah yang mengaku Islam tetapi perwatakan pun tidak menunjukan keIslamannya. Islam menghukumkan rambut wanita adalah termasuk aurat dan tidak ada khilaf ulama dalam hal ini. Dalam urusan asas agama golongan ini ingkar, kemudiaan nak bercakap mengenai Islam. Alangkah malangnya golongan yang tak memelihara hak-hak agama , diberi peluang pula untuk mengulas isu agama. Pentafsiran yang mereka buat penuh dengan sikap permusuhan terhadap Islam dan syariatnya. Mereka ini bukan pembela agama bahkan adalah perosak agama.
Apakah beliau mengira hukuman yang telah dijatuhi oleh Mahkamah Syariah Pahang terhadap Kartika betul-betul maksimun. Sedangkan hukum maksimun ialah 40 sebatan dan ditambah 40 menjadikannya 80. Sedangkan hukuman maksimun dibawah undang syariah Pahang hanya 6 sebatan. Apakah Hakim telah terkilaf dalam penghakimannya?
Apakah dengan mengambil kira kesalahan pertamanya, maka beliau boleh terlepas. Jika itu hujah beliau, bagaimana dengan kes-kes bunuh, rogol, rompak, samun dan sebagainya yang perlakunya baru pertama kali melakukannya. Patutkah mereka semua patut diampunkan kerana atas alasan kesalahan pertamanya. Terlampau dangkal dan tidak berilmunya beliau berhujjah semata-mata untuk menegakkan pendirian beliau. Selepas ini ramailah pesalah akan bebas disebabkan hujjah bahawa ianya merupakan kesalahan pertama , perlu dilepaskan. Mahkamah akan menjadi sarkas hanya untuk pertunjukkan. Jenayah sudah pasti akan bertambah.
Beliau mengatakan perbuatan Kartika tidak memudaratkan sesiapa, yang bermaksud Kartika hanya memudaratkan dirinya sendiri. Hujjah apa ni............ nama sahaja intelek tetapi pemikiran tidak sebanding dengan nilai intelak. Kerana itulah kerajaan patut mengharamkan Sister In Islam melainkan mereka membuang perkataan Islam yang ada pada nama NGO tersebut. Memalukan Islam aje.
Jika mengira hujah tersebut, suruhlah kerajaan membebaskan penagih dadah yang ada didalam penjara ataupun di Pusat Serenti kerana mereka hanya memudaratkan diri mereka sendiri. Mereka tidak menyusahkan orang ramai, melainkan mereka yang melakukan jenayah kerana ketagihannya.
Kemudian mereka berhujah dengan dalil Al-Quran dalam surah Al-Maaidah ayat 39, yang bermaksud : " Barang siapa yang taubat sesudah aniaya dan memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Pengampun, lagi penyayang".
Apakah mereka faham makna sebenar ayat tersebut, janganlah mentafsir ayat al-Quran berdasarkan akal-akal semata. Apa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut jika mereka bertaubat selepas melakukan sesuatu kesalahan apabila mereka telah dihukum dengan hukum yang Allah s.w.t. perintahkan yakni, betul-betul hukum Syariah.
Bukan hukum Syariah yang terdapat diMalaysia sekarang ini, yang tidak langsung menepati apa yang telah Allah s.w.t. perintahkan. Mungkin sekiranya hukuman mahkamah syariah Pahang ialah 40 atau 80 sebatan, saya pasti hakim tersebut akan menjatuhi semaksimun yang boleh.
Dalam perundangan Islam , sekiranya seseorang ditangkap dan didapati bersalah, maka hukuman perlu dilaksanakan sebagai satu usaha untuk melepaskan diri dari azab Allah di hari akhirat yang lebih pedih.
Wahai Sister In Islam janganlah mempermain-mainkan ayat-ayat Al-Quran dengan menafsirkannya dengan sesuka hati tanpa merujukkan dahulu kepada yang lebih arif tentang Al-Quran. Belajarlah al-Quran dari sumber yang muktabar.
Apakah mereka tertinggal dengan ayat 59 didalam surah An-Nissak yang mana Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, ikutlah Allah dan ikutlah rasul dan orang-orang yang mengurus pekerjaan dari kamu. Kalau kamu berbantah-bantah tentang sesuatu (perkara), hendaklah kamu kembali kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan hari yang kemudian. Demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan".
Ikutlah perintah Allah dan rasulnya, begitu juga orang-orang yang memerintahi urusan kamu (ulil-amri), seperti raja, presiden, ulama-ulama dan orang-orang yang cerdik pandai. Yakni jika mereka telah bermusyawarah tentang menentukan suatu hukum yang tidak melanggar Al-Quran dan Sunnah Nabi.
Maka hukum (undang-undang) yang mereka tetapkan itu wajib kita turuti. Tetapi jika mereka menyuruh mengerjakan kejahatan seperti menipu, berdusta dan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t. Jika kamu berbalah didalam sesuatu perkara, hendaklah merujuk kepada orang-orang yang arif tentang hukum hakam yakni ulamak yang benar-benar berpegang pada agama bukannya ulama yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia.
Maka hendaklah berhukum dengan perkara tersebut yang termaktub didalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi jika tidak memperolehi keterangan yang jelas dalam kedua-duanya, hendaklah turut undang-undang umum (Qa'idah) yang tertera dalam keduanya, yakni dengan mmikirkan baik buruknya, melarat manfa'atnya.
Mereka-mereka ini menafsirkan Al-Quran seperti menafsirkan buku-buku. Mereka mempermain-mainkan hukum Allah s.w.t. diatas nama Islam tetapi sebenarnya mereka ini sesat lagi menyesatkan. Maka................ bertaubatlah kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
2 comments:
good one ustaz!
semoga sentiasa diberi kemudahan oleh Allah dalam memperjuangkan Islam!
salam..
sedih dan gembira..sedih sebab orang yang belum faham sistem syariah islam atau mungkin belum faham islam sepenuhnya bersuara dengan lantang tentang perkara yang dia tak tahu.kasihan pada masyarakat yang mendengar.mereka mungkin terpengaruh jikalau tidak di kaji asas dan significant hukuman syariah..gembira kerana pada masa ini semakin ramai yang berdiri di barisan hadapan untuk mempertahankan islam.dan saya percaya golongan yang berfikiran seperti SIS hanyalah segelintir saja..
"Katakanlah: "tidak ada yang kamu tunggu-tunggu bagi kami, kecuali salah satu dari dua kebaikan(Yaitu mendapat kemenangan atau mati syahid). Dan Kami menunggu-nunggu bagi kamu bahwa Allah akan menimpakan kepadamu azab (yang besar) dari sisi-Nya. Sebab itu tunggulah, sesungguhnya kami menunggu-nunggu bersamamu.(9:52)"
wallahua'lam
Post a Comment