SELAMAT DATANG KE AL-BILALI BLOGSPOT

MOGA IANYA BERMANAFAAT UNTUK DUNIA DAN AKHIRAT

Pages

RSS

Friday, January 1, 2010

Gerhana Bulan di Malam Tahun Baru



Pada tahun ini kita amat bertuah kerana sambutan tahun baru kita disertai dengan satu fenomena Gerhana Bulan Separa.Gerhana mula dilihat pada jam 01.17 minit pagi 1 Januari 2010. Kemuncak gerhana adalah pada jam 03.23 minit pagi. Peristiwa gerhana bulan separa ini berakhir pada 05.28 minit pagi.

Bagi membolehkan orang ramai menghayati fenomena ini, Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Falak Syarie Malaysia dan Majlis Mufti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyediakan sebanyak 10 teleskop untuk mereka melihat fenomena itu secara lebih jelas dipekarangan Masjid Negara dan kemudian dilaksanakan solat sunat gerhana . Kehadiran lebih kurang 1500 orang. Alhamdulillah.

Disisi yang lain Sambutan Tahun Baru 2010 disambut meriah dengan kehadiran lebih kurang 20000 orang di dataran merdeka dan 15000 orang di Jalan bukit bintang. Sambutan dipenuhi dengan persembahan konsert dan hiburan semata-mata. Dimalam tahun baru Allah menunjukkan peringatan dan kekuasaaNya , kita masih leka dan tak nak berfikir. Apakah peringatan seperti Tsunami , gempa bumi baru kita faham bahawa Allah Maha Berkuasa?

Dewasa ini ramai antara kita memandang mudah fenomena gerhana ini dan mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta. Mereka tidak terfikir bahawa apa yang mereka kira dan jangka itu adalah tanda kebesaran Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya akan kehebatan Allah menyusun atur perjalanan alam ini.

Firman Allah SWT surah Al-Ana’am ayat 12:
Maksudnya: Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: semuanya adalah milik Allah. Ia telah menetapkan atas diriNya Rahmat. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

Maka bersegeralah kita mengambil iktibar dari fenomena gerhana ini. Tingkatkanlah iman kita dengan mengakaji kebesaran Allah melalui ciptaanNya. Dan segeralah kita
melakukan amal soleh dan bertaubat atas dosa-dosa kita.

Lihatlah kejadian gerhana ini. Lihatlah kehalusan pentadbiran Allah di alam semesta ini. Bulan yang bergerak mengelilingi Bumi, tidak berlanggar sedikit pun dengan Bumi. Lihatlah bintang-bintang yang bertaburan di langit. Siapakah yang mencipta mereka? Siapakah yang mengatur perjalanan mereka sehingga tidak berlanggar di antara satu sama lain? Siapakah yang menjadikan angkasa lepas begitu luas sekali sehingga
dapat memuatkan berjuta-juta bintang? Allah s.w.t! Allah sahajalah yang mencipta segala-galanya. Tuhan yang tiada sekutu bagiNya.
Sesungguhnnya kejadian-kejadian yang berlaku di angkasa lepas ini adalah tanda kebesaran Allah bagi mereka yang berfikir, untuk mereka mengambil iktibar.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali Imran, ayat 190 dan 191 :
Ertinya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang adalah sebagai bukti dan tanda kekuasaan Allah, bagi orang-orang yang berfikir. (Iaitu)orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini. Namun, cukuplah sabda Rasulullah SAW dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini:

"Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis."

Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekalian manusia, Nabi Muhammad SAW. Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir. Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli 'Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata:

"Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita."

Ikutan kita yang agung, Rasulullah SAW gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan. Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku. Baginda SAW menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut. Kebimbangan Nabi SAW ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya. Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn 'Amru r.a berkata:

"Pada masa Rasulullah SAW (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda SAW rukuk, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya.

"Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda SAW tidak akan sujud. Kemudian Baginda SAW sujud, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda SAW menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

Sesungguhnya Baginda SAW tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda SAW tidak pernah melupakan kita.

Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda SAW? Apa yang kita lakukan untuk agama Allah ini?

0 comments: