Pada setiap 17 Ramadhan , umat Islam mengingati akan turunnya al-Quran yang menjadi asas kepada kehadiran Islam di dalam kehidupan manusia.Apakah kita menghayati akan tujuan yang sebenar kenapa Allah mengurniakan kita satu kitab yang amat lengkap ini. Ianya adalah sumber ilmu , hidayah,penyelesaian masalah, hukum hakam , pemerintahan dan sebagainya. Al-Quran kitab panduan yang lengkap , membawa manusia dari kegelapan ke alam cahaya (keimanan) dan petunjuk kepada orang yang bertakwa. Firman Allah bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2).
Al-Quran adalah sumber hidayah dan ubat yang amat berkesan bagi mengubati hati-hati yang sakit. Ambillah iktibar dari peristiwa Islamnya Umar Al-Khattab . Tidak terkira maksiat yang dilakukan oleh Umar sebelum Islam dan sifat amat bencinya Umar kepada Nabi SAW . Tetapi lihatlah kehebatan al-Quran , apabila mendengar bacaan surah Thaha (1-5) , maka hati Umar yang keras menjadi lembut , jiwa yang protest menjadi tunduk dan sifat marahnya digunakan pada menegakkan kalimah tauhid. Dan beliau adalah amat kasihkan Rasulullah SAW dan menjadi pelindung Rasulullah ketika di Mekah. Begitulah al-Quran transformkan satu peribadi yang teruk kepada peribadi hebat . Bukan setakat itu sahaja , beliau menjadi pembela kepada Islam. Umar bukan setakat membaca bahkan mengamalkan setiap isi kandungan Al-Quran dan akhirnya beliau dipandang hebat oleh sahabat, musuh dan Allah sehingga dijamin syurga oleh Allah.
Tetapi amat malang dewasa ini, kita hanya suka memusabaqahkan Al-Quran , menjadikan hiasan dinding tetapi kita tidak mengamalkannya . Seolah-olah al-Quran ini hanya untuk dibaca dan dipamerkan sahaja . Amatlah malang kedudukan Al-Quran pada masa sekarang.
Di zaman ini terutama golongan muda tidak menjadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama bahkan ramai pelajar peringkat menengah (13-15)tidak tahu membaca al-Quran (berdasarkan pengalaman saya mengajar di sekolah harian biasa) . Golongan inilah yang akan menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak Islam di masa hadapan . Cubalah kita bayangkan generasi kita pada masa hadapan . Ramai ibubapa menangis sekiranya anaknya gagal dalam peperiksaan tetapi berapa ramai yang menangis kerana anak tidak pandai membaca Al-Quran . Kita sanggup memperuntukkan banyak perbelanjaan kita untuk tuisyen anak-anak tetapi berkira untuk pendidikan al-Quran anak-anak . Ingatlah al-Quran , hidupkan al-Quran dalam kehidupan keluarga kerana ianya adalah penyelesaian kepada masalah sosial yang berleluasa zaman sekarang. Baca dan amalkan kandungannya. Janganlah kita menjadi golongan yang mengkebumikan al-Quran tetapi jadilah golongan yang membumikan al-Quran dalam diri , keluarga , masyarakat dan negara. Bacalah al-Quran , hayati dan amalkan dalam kehidupan ,moga al-Quran akan menjadi pembela kita diakhirat bukannya sebagai pendakwa ke atas kita.
0 comments:
Post a Comment