Membaca dan mengkaji buku " Kesalahan-kesalahan terhadap Fakta-fakta sejarah yang perlu diperbetulkan semula" hasil buahtangan Prof. Dr Ibrahim Ali Sya'wat( Profesor Sejarah Islam Universiti al-Azhar) dan diterjemah oleh Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani telah dapat merungkai sedikit sebanyak kebingungan kita terhadap sejarah Islam yang telah cuba diselewengkan.
Dan kisah sejarah yang diseleweng itu didedahkan pula kepada pelajar melalui buku-buku teks sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan pelajar yang masih mentah tahap pemikirannya dan ini amat membahayakan. Isu peperangan Jamal, Siffin,pendirian Saidatina Aisyah terhadap Saidina Ali, Isu Majlis Tahkim dan pembunuhan Saidina Hussin adalah antara yang disentuh dengan jelas dalam buku ini.
Dalam hal pembunuhan Saidina Hussin , kita difahamkan bahawa Khalifah Yazid bin Muawiyyah yang mengarahkan supaya Saidina Hussin dibunuh dan kita semua diberi gambaran keburukan akhlak khalifah Yazid. Sesungguhnya buku ini menceritakan hakikat sebenar apa yang berlaku.
Apabila Mu’wiyyah r.a meninggal dunia maka anaknya Yazid bin Mu’awiyyah r.h telah diangkat menjadi penggantinya. Perlantikan Yazid ini telah dipersetujui [bai’ah] oleh majoriti para sahabat Nabi yang masih hidup termasuk para Ahlul Bait serta masyarakat Islam. Namun begitu penduduk Kufah yang rata-ratanya berfahaman Syiah telah menolak kepimpinan Yazid dan ingin melantik Saidina Hussain sebagai khalifah yang baru. Lalu penduduk Kufah termasuk tokoh-tokoh Syiah menulis surat kepada Saidina Hussain menjemput beliau ke Kufah untuk tujuan tersebut. Mereka bukan sekadar berjanji akan taat setia kepada kepimpinan Saidina Hussain malah mereka sanggup untuk menghunus senjata demi membela beliau serta menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyah pimpinan Khalifah Yazid. Mendengarkan sokongan yang padu dari penduduk Kufah maka beliau mengutuskan Muslim bin ‘Aqil untuk meninjau keadaan sebenar di Kufah. Saidina Hussain memaklumkan khabar berita ini serta niat beliau untuk ke Kufah kepada para sahabat serta ahli keluarga beliau bagi mendengar pandangan mereka. Namun demikian para sahabat terkemuka serta ahli keluarganya seperti ‘Abdullah Ibnu Abbas, Muhammad bin al-Hanafiyah, ‘Abdul Rahman bin Hisyam al-Makhzumi, ‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Muti’ al-Afdawi, ‘Amru bin Sa’id, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Sa’id al-Khudri dan lain-lain telah menentang niat Saidina Hussain tersebut. Mari kita lihat beberapa ungkapan kata-kata mereka terhadap Saidina Hussain.
‘Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Wahai sepupuku bagaimana anda boleh bersabar sedangkan saya tidak boleh bersabar. Saya bimbang anda akan binasa jika anda meneruskan hasrat anda itu. Penduduk Iraq adalah orang-orang yang suka memungkiri janji. Janganlah anda terpedaya dengan pujukan mereka.” – (Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 208.)
‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib pernah menulis kepada Saidina Hussain sepucuk surat. Antara kandungan surat tersebut ialah:
“Saya sangat mengharapkan agar anda benar-benar merenung isi kandungan surat ini. Saya sebenarnya amat kasihan dengan anda kerana bimbang kalau-kalau anda akan binasa dan keluarga anda pula akan terhapus. Jika sekiranya anda binasa hari ini, akan padamlah cahaya bumi. Anda adalah salah seorang tokoh yang menjadi ikutan masyarakat dan harapan orang-orang mukmin. Janganlah anda tergesa-gesa bertolak ke Iraq. – (Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 209)
‘Abdullah bin Jaafar bukan sekadar menghantar surat bertujuan untuk menghalang Saidina Hussain dari meneruskan rancangannya untuk ke Kufah, malah beliau juga telah meminta ‘Amru bin Sa’id, Gabenor Khalifah Yazid di Makkah untuk memujuk Saidina Hussain agar membatalkan hasratnya tersebut. Namun begitu Saidina Hussain tetap berkeras untuk berangkat ke Kufah.
Sahabat yang terkemuka serta keluarga saidina Hussin menghalangnya dari berangkat ke Kufah kerana beberapa sebab. Antaranya
1) Mereka dapat menghidu helah golongan Syiah di Kufah yang sememangnya terkenal dengan pengkhianatan mereka terhadap Umat Islam. Mereka inilah kelompok yang telah menyokong ‘Abdullah Ibnu Saba’, terlibat dalam pembunuhan ‘Uthman bin ‘Affan r.a, mengkhianati Saidina ‘Ali serta abang Saidina Hussain yakni Saidina Hassan r.a. Mereka berpandangan sokongan kuat yang menurut khabarnya datang dari penduduk Kufah hanyalah palsu dan tindakan mereka ini merupakan dalih mereka untuk menimbulkan susana kacau-bilau di dalam masyarakat Islam.
2) Yazid bin Mu’awiyyah adalah seorang khalifah yang telah dibai’ah oleh majoriti umat Islam, dikalangan para sahabat-sahabat utama dan juga ahli keluarga Rasulullah s.a.w.. Maka dari sisi syarak perlantikan beliau sebagai khalifah adalah sah. Terdapat larangan dari Rasulullah s.a.w. untuk memberontak terhadap pemerintah yang telah dilantik umat Islam secara sah.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesiapa telah mengangkat [telah bersetuju melantik] seorang pemimpin kemudian memberikan kepadanya uluran tangannya dan buah hatinya [sebagai tanda persetujuan], maka hendaklah dia [orang yang mengangkatnya] mentaatinya sedaya mungkin. Maka jika datang orang lain yang menentangnya, hendaklah mereka membunuh yang terakhir[penentang].
Aku [‘Abdul Rahman bin ‘Abdi Rabbil Kaabah] bertanya [kepada ‘Abdullah bin ‘Amr]: Apakah kamu mendengar ini dari Rasulullah s.a.w.?
Dia [‘Abdullah bin ‘Amr] menjawab: Aku mendengar [hadis ini] dengan kedua telingaku dan difahami oleh hatiku. – Hadis Riwayat Imam Abu Dawud, no: 3707.
Oleh itu mereka membantah niat Saidina Hussain untuk menyertai malah mengepalai pemberontakan penduduk Kufah tersebut
3) Mereka juga khuatir tindakan Saidina Hussain ini akan menimbulkan pertumpahan darah sesama umat Islam dan akan melemahkan persatuan umat.
4) Mereka bimbang akan keselamatan Saidina Hussain dan ahli keluarganya yang berkemungkinan akan dkhianati oleh penduduk Kufah atau diserang oleh tentera Khalifah Yazid.
Ternyata pujuk rayu mereka gagal untuk menghentikan hasrat beliau untuk ke Kufah. Kenapa agaknya Saidina Hussain tetap berkeras untuk ke Kufah? Jawapan Saidina Hussain adalah seperti berikut:
Saya telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan saya telah melakukan sesuatu yang telah ditentukan kepada saya tanpa mengira ia mendatangkan keburukan kepada diri saya atau memberikan keuntungan kepada saya.
Lalu ‘Abdullah bin Yahya berkata: Apakah mimpi anda itu?
Jawab al-Hussain: Saya tidak dapat menceritakannya kepada seseorangpun, malah saya tidak boleh memberitahu kepada seseorangpun sehingga saya bertemu dengan Tuhan saya – Rujuk Tarikh al-Umam wa al-Muluk, jilid 4, ms. 388. (Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, ms. 270)
Apabila mendengar pergerakan rombongan Saidina Hussain ke Kufah maka Yazid memerintahkan gabenor beliau di Basrah iaitu Ubaidullah bin Ziyad serta tenteranya untuk berangkat ke Kufah bagi memantau pergerakan Saidina Hussain serta kebangkitan orang-orang Kufah. Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Harus kita semua fahami bahawa arahan dari Yazid hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah tersebut dan tindakan hanya perlu diambil sekiranya mereka terlebih dahulu memulakan serangan.
Oleh itu siapa sebenarnya yang membunuh Saidina Hussain? Maka terdapat dua riwayat tentang peristiwa di Karbala ini.
VERSI PERTAMA: Ubaidillah bin Ziyad telah bertindak berlebihan dari arahan sebenar Yazid lalu menyerang Saidina Hussain dan rombongannya di Karbala. Tindakan Ubaidillah bin Ziyad hanyalah bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya serta mengampu khalifah. Apa yang menghairankan adalah tindakan penduduk Kufah yang kononnya sanggup untuk berkorban jiwa dan raga untuk mengangkat Saidina Hussain sebagai Khalifah serta menjatuhkan Yazid telah melarikan diri apabila melihat kemaraan tentera Ubaidillah bin Ziyad. Maka terpaksalah Saidina Hussain dan rombongannya yang hanya berjumlah sekitar 70 orang berhadapan dengan tentera Ubaidillah yang jauh lebih besar jumlahnya dari mereka. Mana pergi penduduk Kufah yang dikatakan terdapat sejumlah 12,000 orang yang telah bersiap sedia untuk menerima Saidina Hussain? Sekiranya 12,000 penduduk Kufah yang jumlah tersebut sebenarnya adalah jauh lebih besar dari tentera Ubaidillah mempertahankan Saidina Hussain kemungkinan besar tentera Ubaidillah akan dapat ditewaskan. Namun demikian ini hanya membuktikan bahawa penduduk Kufah memang pada asalnya tidak memiliki niat untuk menaikkan Saidina Hussain sebagai Khalifah. Perkara ini sebenarnya adalah sebahagian dari agenda kelompok Syiah untuk menimbulkan fitnah di kalangan umat Islam iaitu dengan melaga-lagakan Saidina Hussain dengan Yazid.
VERSI KEDUA: Ubaidillah bin Hussain sebenarnya mematuhi arahan Yazid dan tidak melancarkan serangan tersebut. Wakil Saidina Hussain di Kufah iaitu Muslim bin ‘Aqil telah menghidu konspirasi yang sedang dirancang oleh penduduk Syi’ah di sana. Sebelum Muslim dibunuh oleh penduduk Kufah beliau sempat mengutuskan ‘Umar bin Saad bin Abi Waqqas kepada Saidina Hussain yang semakin hampir tiba ke bandar Kufah tentang kecurangan golongan Syi’ah. Maka Saidina Hussain membatalkan hasratnya untuk ke Kufah dan mengubah laluan rombongannya menuju ke Syam untuk menemui Yazid. Ini jelas menunjukkan bahawa Saidina Hussain telah meninggalkan niat asalnya untuk memberontak terhadap Yazid dan telah pun menunjukkan kesediannya untuk membai’ah Yazid. Golongan Syi’ah di Kufah mula panik dengan perubahan arah tersebut kerana sekiranya Saidina Hussain berbai’ah kepada Yazid maka musnahlah segala perancangan kotor mereka untuk memporak-perandakan kesatuan umat Islam. Sekiranya Hussain berada di pihak Yazid maka sudah pasti mereka akan dihancurkan oleh tentera Islam. Menurut ulamak Syi’ah sendiri iaitu Mulla Baaqir Majlisi tentera Syi’ah lengkap bersenjata dari Kufah mengejar rombongan Saidina Hussain dan mereka bertembung di Karbala. Menurut Mulla Baqir Majlisi:
Sejarah memaparkan bahawa dialah (iaitu Syits bin Rab’ie seorang Syi’ah dari Kufah) yang mengetuai 4000 bala tentera untuk menentang Saidina Hussain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saidina Hussain – Mulla Baaqir Majlis, Jilaau al-‘Uyun, ms. 37. (artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala- www.darulkauthar.com)
Apa pun jua berkaitan dengan kedua-dua riwayat di atas, ternyata Yazid bebas dari tuduhan membunuh Saidina Hussain. Maka syahidlah Saidina Hussain di Karbala. Setelah peristiwa itu Yazid telah memberi perlindungan kepada ahli keluarga Saidina Hussain yang terselamat dari serangan tersebut sehinggalah mereka kembali ke Madinah. Justeru itu dapat kita fahami bahawa kisah Karbala versi Syiah yang menyatakan Yazid adalah pembunuh sebenar Saidina Hussain malah kononnya Yazid telah menyuruh kepala Saidina Hussain dipenggal untuk diserahkan kepadanya adalah tidak benar sama sekali.
Kepada saudara Abdullah yang keliru berhubung kisah pembunuhan Saidina Hussin dan memohon penjelasan daripada saya, elok rasanya dapatkan buku "Kesalahan-kesalahan terhadap Fakta-fakta sejarah yang perlu diperbetulkan semula" hasil buahtangan Prof. Dr Ibrahim Ali Sya'wat( Profesor Sejarah Islam Universiti al-Azhar) dan diterjemah oleh Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani keluaran Jahabersa untuk lebih memahami isu tersebut.
2 comments:
hal sebegini kadangkala susah kita nak dapat tau. kena rajin membaca dan mencari sendiri. artikel ini adalah perkongsian yang bernas. selamat maju jaya ustaz!
Assalamualaikum wbt.
bolehkah saya memebeli buku ini secara online? kalau boleh, bagaimana caranya? Wassalam
Post a Comment