SELAMAT DATANG KE AL-BILALI BLOGSPOT

MOGA IANYA BERMANAFAAT UNTUK DUNIA DAN AKHIRAT

Pages

RSS

Friday, August 13, 2010

Ramadhan datang lagi

Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan . Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.
Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah. Maksudnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil.
Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya. Bersyukurlah kita kepada Allah kerana diberi kesempatan untuk berada di bulan yang mulia ini sedangkan ada antara sahabat kita yang telah menyahut panggilan Ilahi dan tidak mendapat peluang untuk merasai nikmat Ramadhan.
Buatlah perancangan yang terbaik agar Ramadhan tidak berlalu sia-sia. Hidupkan ramadhan dengan tadarrus al-quran, zikirullah, mengadakan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.
Sebagai muslim yang menghayati Ramadhan hendaklah kita memendekkan  masa di bazar-bazar Ramadhan, janganlah menjadikan ianya agenda penting sehingga kita melupakan akan hakikat sebenar kita berpuasa. Belilah tapi jangan membazir dan perbanyakkan sedekah kepada sahabat serta jiran tetangga. Insyaallah puasa menjadi lebih berkualiti.
Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu.

0 comments: