Ibu.... terlalu banyak jasamu

{ Posted on 4:59 AM by Joha al-Bilali }
Pagi tadi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Indera Mahkota, dalam keadaan hujan yang agak lebat yang tak berhenti-henti sejak semalam, saya terpandang dua peristiwa yang amat menyentuh hati saya.

Seorang ibu sanggup mengiringi anaknya ke sekolah dengan menjadi apa yang boleh saya istilahkan " tukang payung si anak" . Bukan anak kecil tapi anak yang saya rasakan mungkin nak ambil peperiksaan SPM. Dah besar sangat tu... boleh payungkan dirinya sendiri tapi atas dasar kasih seorang ibu sanggup menyusahkan dirinya agar anaknya tenang untuk menghadapi peperiksaan.

Ketika melalui Permatang Badak, terlihat pula seorang ibu yang sanggup sama2 menunggu kenderaan anak untuk ke sekolah. Si ibu setia memayungi si anak dan si anak membaca buku mungkin persiapan untuk exam pagi ini. Kedua-duanya dalam keadaan berdiri.

Peristiwa ini, mengingatkan saya kepada arwah emak yang telah genap 11 tahun meninggalkan kami pada 18/11/1998. Seorang emak yang sanggup bersusah payah demi untuk kebahagiaan anak-anaknya yang seramai 10 orang. Dalam kesempitan hidup emak pernah membuat kuih muih,jual kain, beli kerepek,kekacang kemudiaan di packing semula untuk jualan.

Ketika di Universiti , saya pernah keputusan wang , kemudian maklumkan emak. Emak bagitau tak apa dia akan cari duit. Kemudian sepupu saya menghantar wang. Rupanya emak saya pinjam duit sepupu saya untuk diberi kepada saya. Sejak itu, saya berazam tak akan susahkan emak lagi sebab itu saya kerja part time. Siang kuliah malam kerja di pasayara. Sifat seorang ibu walau macam mana susah pun dia akan cuba memenuhi keperluan anaknya.

Ketika saya bertugas di Sabah, emak sakit. Saya ingat lagi perbualan telefon dengan emak " Jo, mak sakit ,baliklah".Kalau sakit sikit, emak takkan cakap macam tu.Ini tentu sakit betul tapi saya beri alasan belum cuti lagi tak boleh balik nanti cuti saya akan balik. Emak diam.Saya jadi rasa tak tenang lepas tu. Beberapa hari lepas tu, ayah telefon maklumkan emak jatuh dan dimasukkan ke wad. Saya terus ambil cuti kecemasan. Saya cuma sempat melayan emak ketika sakit selama seminggu sahaja kemudian emak dijemput Allah. Saya dan adik beradik terkejut dengan permergiaan emak, amat cepat emak meninggalkan kami.Terlalu banyak jasa emak yang tak dapat kami balas. Sakit lebih kurang dua minggu lebih, kemudian dipanggil Ilahi.Belum puas kami melayan, menjaga kebajikan emak ketika sakit, Allah lebih sayangkan emak.Mungkin ini semua doa emak, tak nak anak2 susah.Emak pernah nyatakan kepada kami,kalau boleh dia tak nak hidup terlampau tua , nanti susahkan anak-anak saja, dan kalau sakit janganlah lama2 , susahkan anak je nak jaga . Alangkah mulia hati emak. Hanya doa kami pohonkan agar diampunkan segala dosa emak dan ditempatkan emak dikalangan hambaNya yang soleh dan jadikan kami semua anak2 yang soleh yang sentiasa mendoakan kebahagiaan emak dialam sana. Amin.

Nasib seorang ibu

{ Posted on 3:57 PM by Joha al-Bilali }
Selepas solat subuh pagi semalam seorang ibu tunggal dikawasan kejiranan saya berjumpa saya dan minta tolong saya untuk menyelesaikan masalah air dirumahnya yang telah dipotong oleh JBA kerana tertunggak hampir RM 300.00. Maksudnya dah lama sangatlah bil air tak di bayar tu.

Pasal tunggakan air tu tak apelah, tapi yang saya nak marahnya kat anak2 ibu ini. Yelah ibu duduk sorang-sorang , tak boleh ke, bawa duduk disalah satu rumah anak-anaknya seramai 8 orang tu(ikut ceritanya). Bincanglah wahai anak-anak untuk jaga ibu. Sementara dia adalah kita berbakti , dah meninggal baru nak berbakti tak ada gunanya.

Kalau tak boleh bawa ibu ke rumah , pastikanlah duit untuk kehidupan ibu diberi agar memudahkan kehidupan. Biarlah dia selesa hidup.

Ikut cerita siibu tadi, anak-anaknya bila minta baru dibagi duit, kalau tak maka tak bagilah. Astaghifurullah, ada juga anak yang macam ni. Ingatlah wahai anak2 , duit sebanyak manapun kita bagi kat ibubapa kita, masih belum mampu untuk membalas jasa ibu yang memelihara dan membesarkan kita.

"Ya Allah Engkau Kurniakanlah aku anak-anak yang Soleh , ketika aku hidup mereka menyantuniku dan apabila aku pergi mereka mendoakan kebahagiaanku di alam sana"

Ziarah Mersing

{ Posted on 3:37 AM by Joha al-Bilali }
Semalam saya dan keluarga ke Mersing , Johor kerana menziarahi sahabat lama Cikgu Maon dan Cikgu Fazidah yang akan menyahut panggilan Allah untuk melaksanakan Ibadah Haji pada tahun ini . Insyaallah mereka berdua akan berangkat pada 11/11/2009. Moga kedua-duanya mendapat haji Mabrur.

Di dalam perjalanan pulang , kami sekeluarga singgah sebentar di rumah cikgu Sapiah untuk bertanya khabar sebab dengar ceritanya cikgu sapiah masuk wad beberapa hari lepas kerana ada sedikit masalah kesihatan. Walaupun masih belum sihat tapi beliau masih sudi bercerita pasal hal-hal sekolah untuk sama-sama difikirkan. Moga Allah berikan kesihatan kepada beliau dan semangat yang lebih untuk berbakti kepada anak bangsa.

Sekadar renungan " Wahai pelajar walaupun cikgu2 kita sentiasa sibuk dengan urusan dan kadang2 tak sihat tapi pemikiran untuk kebaikan pelajar masih tetap dihati". Itulah yang saya dapat rumuskan hasil pertemuan dengan dua orang sahabat yang amat saya hormati dalam bidang pendidikan ini.

SIS, Layakkah kamu bercakap mengenai Islam

{ Posted on 6:27 PM by Joha al-Bilali }
Kenyataan Norhayati Hj Kaprawi, aktivis Sister In Islam

Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari, atau Islam ‘hududi’?
Apa pun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.
Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.
Bertambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam, bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap Kartika.
Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam. Namun, apabila timbul masalah sebenar di dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu. Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.
Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksima?
Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islam lah ia?
Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut beg yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian. Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.
Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal. Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara 7 hari di penjara Kajang?
Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan Agama Allah dan menegakkan Negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?
Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum pencuri yang mencuri akibat kemiskinan. Lupakah mereka tentang pesanan Allah s.w.t : “Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. Al Maaidah: 39)
Malah, banyak lagi ayat-ayat Al-Qur’an yang memberikan peringatan yang sama seperti di Surah An-Nahl: 119, dan Al An’aam: 54, An Nahl: 125
Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya? Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.
Apakah pantas Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?
Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperi kemanusiaan ini ke atas Kartika?

Satu Response.... fikirkan
Inilah yang berlaku apabila orang yang bergelar Islam berhujah dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran tanpa mengetahui apa yang telah dihujahkannya. Inikah wajah-wajah yang mengaku Islam tetapi perwatakan pun tidak menunjukan keIslamannya. Islam menghukumkan rambut wanita adalah termasuk aurat dan tidak ada khilaf ulama dalam hal ini. Dalam urusan asas agama golongan ini ingkar, kemudiaan nak bercakap mengenai Islam. Alangkah malangnya golongan yang tak memelihara hak-hak agama , diberi peluang pula untuk mengulas isu agama. Pentafsiran yang mereka buat penuh dengan sikap permusuhan terhadap Islam dan syariatnya. Mereka ini bukan pembela agama bahkan adalah perosak agama.

Apakah beliau mengira hukuman yang telah dijatuhi oleh Mahkamah Syariah Pahang terhadap Kartika betul-betul maksimun. Sedangkan hukum maksimun ialah 40 sebatan dan ditambah 40 menjadikannya 80. Sedangkan hukuman maksimun dibawah undang syariah Pahang hanya 6 sebatan. Apakah Hakim telah terkilaf dalam penghakimannya?

Apakah dengan mengambil kira kesalahan pertamanya, maka beliau boleh terlepas. Jika itu hujah beliau, bagaimana dengan kes-kes bunuh, rogol, rompak, samun dan sebagainya yang perlakunya baru pertama kali melakukannya. Patutkah mereka semua patut diampunkan kerana atas alasan kesalahan pertamanya. Terlampau dangkal dan tidak berilmunya beliau berhujjah semata-mata untuk menegakkan pendirian beliau. Selepas ini ramailah pesalah akan bebas disebabkan hujjah bahawa ianya merupakan kesalahan pertama , perlu dilepaskan. Mahkamah akan menjadi sarkas hanya untuk pertunjukkan. Jenayah sudah pasti akan bertambah.

Beliau mengatakan perbuatan Kartika tidak memudaratkan sesiapa, yang bermaksud Kartika hanya memudaratkan dirinya sendiri. Hujjah apa ni............ nama sahaja intelek tetapi pemikiran tidak sebanding dengan nilai intelak. Kerana itulah kerajaan patut mengharamkan Sister In Islam melainkan mereka membuang perkataan Islam yang ada pada nama NGO tersebut. Memalukan Islam aje.

Jika mengira hujah tersebut, suruhlah kerajaan membebaskan penagih dadah yang ada didalam penjara ataupun di Pusat Serenti kerana mereka hanya memudaratkan diri mereka sendiri. Mereka tidak menyusahkan orang ramai, melainkan mereka yang melakukan jenayah kerana ketagihannya.

Kemudian mereka berhujah dengan dalil Al-Quran dalam surah Al-Maaidah ayat 39, yang bermaksud : " Barang siapa yang taubat sesudah aniaya dan memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Pengampun, lagi penyayang".

Apakah mereka faham makna sebenar ayat tersebut, janganlah mentafsir ayat al-Quran berdasarkan akal-akal semata. Apa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut jika mereka bertaubat selepas melakukan sesuatu kesalahan apabila mereka telah dihukum dengan hukum yang Allah s.w.t. perintahkan yakni, betul-betul hukum Syariah.

Bukan hukum Syariah yang terdapat diMalaysia sekarang ini, yang tidak langsung menepati apa yang telah Allah s.w.t. perintahkan. Mungkin sekiranya hukuman mahkamah syariah Pahang ialah 40 atau 80 sebatan, saya pasti hakim tersebut akan menjatuhi semaksimun yang boleh.

Dalam perundangan Islam , sekiranya seseorang ditangkap dan didapati bersalah, maka hukuman perlu dilaksanakan sebagai satu usaha untuk melepaskan diri dari azab Allah di hari akhirat yang lebih pedih.
Wahai Sister In Islam janganlah mempermain-mainkan ayat-ayat Al-Quran dengan menafsirkannya dengan sesuka hati tanpa merujukkan dahulu kepada yang lebih arif tentang Al-Quran. Belajarlah al-Quran dari sumber yang muktabar.

Apakah mereka tertinggal dengan ayat 59 didalam surah An-Nissak yang mana Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, ikutlah Allah dan ikutlah rasul dan orang-orang yang mengurus pekerjaan dari kamu. Kalau kamu berbantah-bantah tentang sesuatu (perkara), hendaklah kamu kembali kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan hari yang kemudian. Demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan".
Ikutlah perintah Allah dan rasulnya, begitu juga orang-orang yang memerintahi urusan kamu (ulil-amri), seperti raja, presiden, ulama-ulama dan orang-orang yang cerdik pandai. Yakni jika mereka telah bermusyawarah tentang menentukan suatu hukum yang tidak melanggar Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Maka hukum (undang-undang) yang mereka tetapkan itu wajib kita turuti. Tetapi jika mereka menyuruh mengerjakan kejahatan seperti menipu, berdusta dan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t. Jika kamu berbalah didalam sesuatu perkara, hendaklah merujuk kepada orang-orang yang arif tentang hukum hakam yakni ulamak yang benar-benar berpegang pada agama bukannya ulama yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia.
Maka hendaklah berhukum dengan perkara tersebut yang termaktub didalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi jika tidak memperolehi keterangan yang jelas dalam kedua-duanya, hendaklah turut undang-undang umum (Qa'idah) yang tertera dalam keduanya, yakni dengan mmikirkan baik buruknya, melarat manfa'atnya.

Mereka-mereka ini menafsirkan Al-Quran seperti menafsirkan buku-buku. Mereka mempermain-mainkan hukum Allah s.w.t. diatas nama Islam tetapi sebenarnya mereka ini sesat lagi menyesatkan. Maka................ bertaubatlah kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Hari Raya .......

{ Posted on 3:46 AM by Joha al-Bilali }
Tazkirah semalam yang disampaikan oleh ustaz Ayub di surau Fatimah Az-Zahra' amat menarik untuk kita renung dan fikirkan. Beliau memetik kata2 Imam Anas bin Malik mengenai hari raya iaitu selain dari dua hari raya yang kita biasa dengar dan rayakan , ada lima lagi hari raya yang perlu tahu. Hari raya adalah hari yang menggembirakan dan sebagai orang beriman kita perlu hayati apa maksud kegembiraan yang sebenarnya.

Menurut Imam Anas bin Malik ,hari raya pertama kepada orang mukmin ialah kita lalui setiap hari tanpa melakukan dosa dan maksiat terhadap Allah. Alangkah bahagianya hidup seseorang mukmin sekiranya setiap hari hidupnya dipelihara Allah dari dosa. Kedua, adalah hari dimana seorang mukmin sempat bertaubat sebelum maut menjemput. Maksudnya kita bertemu Allah dalam keadaan insyaallah Allah ampunkan dosa kita. Ketiga, hari dimana kita dikebumikan dan kita terlepas dari azab kubur. Alangkah bahagia dan gembiranya kita sepanjang berada di alam Barzakh. Keempat, hari dimana kita dapat melintasi titian sirat. Apabila kita berjaya melepasi titian sirat, kita memperolehi kebahagiaan yang kita dambakan iaitu syurga Allah. Dan kelima, hari kita dapat bertemu dengan Allah. Masyaallah itulah hari raya yang paling hebat bagi kita orang mukmin apabila dapat bertemu kekasih yang selalu kita rindukan iaitu Allah Rabbu Jalil.

Diakhirnya , ustaz Ayub menekankan kita perlu muhasabah apakah kita yang setiap malam ke surau melaksanakan ibadah sepanjang Ramadhan ini diterima amalan. Bimbinglah hati kita supaya tak ada riya', ujub , sombong dan takbur yang boleh merosakkan amalan kita.
Ya Allah Engkau terimalah amalan kami

Menangani kejemuan (Al-Futur) dalam Dakwah

{ Posted on 3:47 AM by Joha al-Bilali }
Artikel ini ana petik dari blog sahabat ana iaitu Ust Zuridan Daud , Pensyarah UMP. Ana tujukan khas kpd insan yang menggelarkan dirinya anak didik ust. Siapa gerangannya pun ana tak tahu , tapi ana harap artikel ini sediki sebanyak dapat membangkitkan semangat dakwah yang kadang-kadang mengalami zaman kelesuan. Kekadang matlamat dakwah tak kesampaian menyebabkan kita merasa lemah dalam perjuangan tapi ingatlah berjaya atau tidak dakwah kita, usaha yang kita curahkan dalam medan dakwah ini pun sudah berpahala disisi Allah. Jangan kita mudah frust , sebab apa yang kita laksanakan ada meritnya disisi Allah.


Pendahuluan
Manusia diciptakan Allah Taala dengan pelbagai sifat dan tingkahlaku yang menunjukkan betapa berhajatnya mereka kepada bantuan dan pertolongan. Sifat-sifat seperti resah gelisah, takut, kecewa, bosan, malas dan sebagainya adalah gambaran kelemahan diri manusia itu sendiri yang diciptakan sebagai hamba Allah. Kelemahan dan sifat serba kekurangan ini boleh mendedahkan manusia kepada keadaan murung dan berputus asa yang akhirnya akan membawa mereka kepada hilang pergantungan dengan rahmat Allah Taala. Sabda Rasulullah s.a.w:
إن لكل عمل شِرَّة، ولكل شِرَّة فترة
Maknanya: “Sesungguhnya bagi setiap amalan ada masa bersungguh(cergasa) dan setiap kecergasan ada masa jemu...”. Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Tirmizi.

Suasana persekitaran, pergaulan, kejahilan, kecintaan kepada dunia dan tiadanya murabbi adalah antara faktor kemurungan dan kebosanan dalam melaksanakan perintah Allah Taala. Ia samada berkaitan dengan ibadah mahupun dalam kerja-kerja dakwah. Keadaan ini adalah perlu diberikan perhatian kerana bimbang ia akan menjadikan seseorang itu hilang rasa nikmat beribadah dan berjuang di jalan Allah. Kertas kerja ini akan memberikan fokus perbincangan kepada kebosanan di dalam amal Islami yang sering melanda amilin dalam dakwah yang akhirnya menjejaskan gagasan yang telah digariskan di dalam perjuangan.

Definisi ’Al-futur’.
Menurut Mukhtar Al-Sihhah, Al-Futur itu bererti lemah, tumpul. Manakala Al-Raghib Al-Asfahani di dalam Mufaradat Al-Quran menyatakan bahawa erti Al-Futur ialah diam selepas bergerak cergas, lembut selepas keras dan lemah selepas kuat.

Ibnu Hajar rahimahullah berkata bahawa Al-futur ialah:

" الملال استثقال الشيء، ونفور الناس عنه بعد محبته، وهو داء يصيب بعض العباد والدعاة وطلاب العلم، فيضعف المرء ويتراخى ويكسل، وقد ينقطع بعد جد وهمة ونشاط. وفي القرآن الكريم قال الله تعالى مثنيا على الملائكة: [ يسبحون الليل والنهار لا يفترون ]
Maksudnya:Bosan, berat untuk melakukan sesuatu dan orang lari darinya selepas awalnya suka kepadanya. Ia adalah penyakit yang menimpa sebahagian hamba, para daie dan penuntut ilmu. Seseorang itu akan jadi lemah, bertangguh dan malas. Seterusnya meninggalkan dari melakukan sesuatu selepas awalnya ia bersungguh dan cergas. Di dalam Al-Quran Allah Taala memuji para MalaikatNya dengan berfirman: (( Mereka (para Malaikat) bertasbih malam dan siang tanpa jemu )).

Sebab-sebab Al-Futur dalam Dakwah.
Bagi seseorang yang terlibat dengan gerakan dakwah ia tidak boleh lari dari sifat sebagai manusia biasa yang terdedah kepada kebosanan dan kejemuan dalam dakwah. Bahkan para sahabatpun ada yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w bilakah kemenangan akan tiba kerana sudah bosan dengan tentangan hebat dari golongan musyrikin. Dalam dakwah kebosanan berlaku samada akibat dari kelewatan mendapat kemenangan atau berpunca dari terjadi berbagai ujian yang berat kepada pejuang Islam. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 42:
Yang Maksudnya: Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta”.

Kebosanan dan kejemuan dalam dakwah adalah berpunca dari dua faktor utama iaitu faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran:

A. Faktor-faktor dalaman
1) Kejahilan yang menimbulkan keraguan kepada kesahihan tanzim.
2) Lemah amal ibadah.
3) Kurang mengamalkan sunnah dalam kehidupan harian.
4) Berlumba memperolehi populariti dalam dakwah.
5) Tidak berdisiplin dan kerja tidak tersusun.
6) Sentiasa berburuk sangka sesama ikhwah.
7) Tidak menghadiri tarbiah.
8) Tidak menghadiri aktiviti jamaah.
9) Tidak bersederhana/melakukan sesuatu secara melampau.
10) Tiadanya aktiviti Istirahah Al-Nafs.

B. Faktor-Faktor Luaran.
1) Jamaah tidak memberikan peningkatan kepada diri.
2) Ikhwah dalam jamaah tidak bersifat terbuka.
3) Tanzim yang bercelaru.
4) Aktiviti yang membosankan.
5) Kepimpinan yang tidak memberikan contoh yang baik.
6) Perpecahan dalam jamaah.
7) Serangan bertubi-tubi dari musuh.
8) Kemewahan hidup yang menamkan rasa selesa dengan apa yang ada.
9) Pengaruh wanita.
10) Pengaruh keluarga dan anak-anak.
11) Tekanan di tempat kerja.
12) Kekalahan dalam peperangan dengan musuh.

Faktor-faktor di atas adalah penyebab kepada timbulnya Al-Futur di dalam diri pejuang-pejuang Islam. Sebagai contoh ialah kekalahan, ia boleh menyebabkan hilang keyakinan untuk meneruskan perjuangan seperti berlaku di dalam perang Uhud. Apabila umat Islam ditimpa kekalahan, ramai yang mula kecewa, hilang keyakinan dan rasa bimbang dengan masadepan Islam. Lalu Allah Taala menjelaskan sendiri mengapakah kekalahan berlaku dengan firmanNya:
Yang maksudnya: Dan Mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu Telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: "Darimana datangnya (kekalahan) ini?" Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan, Maka (kekalahan) itu adalah dengan izin (takdir) Allah, dan agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman. Surah Ali-Imran : 165-166.
Dengan turunnya ayat di atas barulah para sedar bahawa kekalahan yang berlaku adalah berpunca dari kelakaun mereka sendiri yang tidak menuruti arahan Rasulullah s.a.w. Lantas selepas daripada itu mereka tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama dan akhirnya Allah Taala kurniakan kemenangan dengan pembukaan Kota Mekah yang berlaku secara aman.

Penyelesaian.
Bagi menyelesaikan dan merawat penyakit Al-Futur yang menimpa ahli jamaah Islam maka terdapat beberapa tip yang boleh dijadikan sebagai panduan iaitu:

1) Membaca Al-Quran yang mengisahkan kesusahan perjuangan Anbiya.
2) Membaca Sirah Rasulullah s.a.w.
3) Membaca sejarah pejuang Islam masa silam.
4) Solat berjamaah.
5) Tingkatkan amalan sunat.
6) Hidupkan sunnah dalam kehidupan.
7) Meninggalkan amalan makruh.
8) Kurangkan menonton TV.
9) Selalu bersama solihin.
10) Hadiri majlis ilmu.
11) Selalu berhubung dengan ahli jamaah.
12) Amalkan pengurusan diri dan berdisiplin.
13) Menjaga masa.
14) Kreatif mempelbagaikan aktiviti jamaah.
15) Mengamalkan kesatuan fikrah dan kesatuan amal.
16) Libatkan semua peringkat ahli jamaah Islam dengan tarbiah.

Kesimpulan.
Para Qiadah dalam jamaah Islam seharusnya bersifat peka terhadap perkembangan di kalangan ahli-ahli jamaah Islam yang mempunyai tingkah laku dan kecenderungan yang pelbagai. Kebijaksanaan qiadah amat perlu bagi memastikan faktor-faktor yang membawa kepada Al-futur dalam dakwah dapat ditangani dengan sebaiknya agar intima di dalam jamaah bukan sahaja kerana kebenaran yang dibawa tetapi kerana keseronokan bersama-sama memperjuangkan Islam. Qiadah yang tidak sensitif dengan perkara-perkara seumpama ini akan membawa kepada kecenderungan ahli jamaah meninggalkan perjuangan Islam.

Inikah Akhlak Islam

{ Posted on 6:23 PM by Joha al-Bilali }


Melihat kepada sikap dan tingkahlaku sebegini, ianya amat memalukan Islam. Budaya perbincangan sebegini bukanlah cara Islam. Sikap2 inilah menyebabkan Islam dipandang hina dan masyarakat bukan Islam semakin menjauhi Islam.

Wahai insan2, adakah kamu golongan yang betul-betul sayangkan Islam, dimana sikap berani kamu ketika byk surau dan masjid diruntuhkan sewaktu waktu dahulu di negeri Selangor ini .Di sini saya senaraikan beberapa masjid dan surau yang telah dirampas, di sita dan di roboh semasa pentadbiran Selangor di bawah pemerintahan dahulu.

• Surau Ar Rahmah, Sekyen 8/A, Shah Alam
• Surau di Berembang, Ampang
• Surau Jubli Perak, Hulu Langat
• Surau Al-Ikhwan, Puchong Perdana
• Surau Fatima Al-Zahra, Taman Kosas;
• Masjid Al Hidayah Kelana Jaya,
• Masjid Al Munawwarah Shah Alam,
• Surau Ar Rasyidin Gombak dan
• Masjid Darul Ehsan Subang Jaya

Menangis ahli jemaah mempertahankan surau dan masjid dari dirobohkan tetapi tetap dirobohkan , dimana kamu ketika itu...... kenapa kamu semua tidak menggunakan keberaniaan kamu untuk mempertahankan rumah Allah.

Kepada yang bukan Islam , fahamilah ini , ini bukan akhlak Islam. Islam amat mementingkan perbincangan yang penuh dengan unsur toleransi bagi mencapai keputusan yang terbaik untuk semua.