SELAMAT DATANG KE AL-BILALI BLOGSPOT

MOGA IANYA BERMANAFAAT UNTUK DUNIA DAN AKHIRAT

Pages

RSS

Saturday, September 27, 2008

Hari Raya Menjelma



Dua hari lagi umat Islam akan menyambut hari raya aidilfitri . Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud :“ .. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, pertama : kegembiraan ketika berbuka(hari raya) , kedua : ketika berjumpa Tuhannya ( Allah S.W.T ) ” Muttafaq Alaih.


Hari raya merupakan hari kegembiraan umat Islam. Kerana apa? Inilah yang perlu difahami oleh umat Islam agar sambutan hari raya tidak hanya menjadi sebagai adat budaya sahaja dan dipenuhi dengan amalan2 yang bertentangan dengan syariat agama. Aidilfitri merupakan hari kegembiraan kerana kita telah berjaya melawan godaan syaitan sebulan di bulan Ramadhan dengan melaksanakan ibadah puasa dengan sesempurna yang mungkin. Apakah wajar kita menyambut kejayaan kita melawan syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan perkara larangan Allah.


Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini berbeza dari cara orang-orang bukan Islam menyambut perayaan mereka. Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.


Besarkan hari raya dengan takbir , tahmid , tasbih dan ziarah .Pelihara adab sebagai seorang Islam . Jangan menganggap hari raya seolah-olah hari kebebasan sehingga syariat dikesampingkan . Buktikan kita adalah Graduan Madrasah Ramadhan yang sebenar.

0 comments: